FDI dilayan VVIP, derita PMKS dipandang sepi 外资享尽礼遇,中小企业却被边缘化

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menghentikan amalan layanan ‘dua darjat’ yang mengutamakan pelaburan langsung asing (FDI), sebaliknya perlu memberi tumpuan serius terhadap Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan.

Pengerusi Biro Media dan Komunikasi Wanita GERAKAN, Ng Mey Yuan berkata, wujud jurang yang terlalu besar antara dasar makroekonomi yang dibanggakan oleh kerajaan dengan realiti ekonomi dihadapi akar umbi.

Menurut beliau yang juga Naib Pengerusi GERAKAN Bahagian Pagoh, ketika FDI dilayan istimewa menerusi laluan ekspres, PMKS tempatan pula berhadapan rintangan birokrasi dan tekanan kos sara hidup sedang membunuhnya.

Mey Yuan menegaskan, angka pelaburan berbilion ringgit dan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) sering menghiasi dada akhbar hanyalah naratif kertas kerja tidak dirasai oleh rakyat dan pengusaha tempatan.

“Pelabur asing sering diberikan laluan mudah, pantas dan perkhidmatan khas ibarat ‘menaiki lif terus ke tingkat atas (penthouse)’. Kelulusan lesen dan kemudahan yang disediakan dipermudahkan menerusi laluan hijau (fast lane).

“Namun, hakikatnya berbeza bagi warga tempatan, khususnya para pengusaha PMKS yang menjadi tulang belakang ekonomi negara. Kami terpaksa bergelut dengan birokrasi yang panjang.

“Kami naik turun jabatan, mengetuk pelbagai pintu dan sering diarah pulang hanya kerana kekurangan satu atau dua dokumen. Adakah PMKS tempatan dianggap sebagai rakyat kelas kedua dalam dasar ekonomi negara sendiri?

“Bak kera di hutan disusukan, anak di rumah kelaparan, begitulah realiti yang perlu dihadam,” katanya yang berpengalaman dalam rantaian bekalan di mana mendedahkan situasi kritikal di kawasan perindustrian seperti Muar.

Menurutnya banyak kilang perabot yang sebelum ini beroperasi enam hari seminggu kini terpaksa mengurangkan waktu kerja kepada tiga hari sahaja, selain sub-kontraktor tempatan yang terpaksa gulung tikar.

Kesan kegagalan ekosistem ekonomi ini katanya, turut mengakibatkan pengecutan peluang pekerjaan berkualiti sehingga memaksa graduan cemerlang bekerja di bawah tahap kelayakan mereka.

“Sebagai usahawan yang sering menemu duga pencari kerja, saya melihat ramai graduan universiti dengan nilai CGPA yang cemerlang (3.5 dan ke atas) terpaksa bekerja sebagai juruwang di stesen minyak atau kedai runcit.

“Hal ini bukan kelemahan mereka, tetapi simptom kepada kegagalan ekosistem ekonomi untuk menyediakan peluang pekerjaan yang setimpal,” jelas beliau.

Ironi negara pengeluar minyak

Beliau turut menyifatkan kesukaran rakyat mendapatkan petrol bersubsidi untuk kegunaan sektor pertanian kecil dan domestik di kampung sebagai satu ironi yang menyedihkan bagi sebuah negara pengeluar minyak.

“Umpama mempunyai pokok rambutan di halaman rumah sendiri, tetapi terpaksa mencatu untuk memakannya. Pada masa yang sama, kerajaan melaporkan kutipan cukai pendapatan berada di tahap tertinggi.

“Hal ini bermakna, beban kewangan masih dipikul oleh rakyat, sedangkan limpahan ekonomi daripada pelaburan asing dan kutipan cukai gagal diterjemahkan kepada penurunan kos sara hidup,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan agar tidak bersaing dengan pemain industri kecil melalui inisiatif pasar mini yang menjejaskan margin keuntungan peniaga runcit kampung.

Sebaliknya, kerajaan perlu bertindak sebagai pemudah cara (facilitator) dan membimbing PMKS untuk melangkah ke pasaran antarabangsa dengan mencontohi kejayaan model perniagaan AEON dari Jepun.

“Pasar Raya AEON di Malaysia sebagai contohnya mungkin boleh dijadikan sebagai contoh yang baik. Pasar raya yang dimiliki oleh syarikat induk beribu pejabat di Jepun ini bukan sekadar pasar raya.

“Tetapi (ia) menggabungkan pasar raya, gedung serbaneka dan pusat beli-belah dalam satu lokasi… seakan ‘mini Jepun’ di Malaysia. Kerajaan wajar mempertimbangkan strategi pengembangan perniagaan tempatan ke pasaran antarabangsa seperti mana AEON.

“Iaitu jenama dan model runcit berjaya diperluas ke luar negara. Pendekatan ini akan membuka peluang pertumbuhan baharu, memperkenalkan produk Malaysia ke peringkat global dan meningkatkan daya saing ekonomi negara secara keseluruhan,” saran beliau.

Beliau menegaskan bahawa kestabilan ekonomi mestilah diukur menerusi kelangsungan PMKS dan kuasa beli rakyat di jalanan, bukannya sekadar angka di atas kertas. – HARAKAHDAILY 1/5/2026

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *